Vitamin Yang Perlu Diambil Setiap Hari

Pengenalan

Vitamin merupakan sejenis elemen mikro nutrien yang diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi oleh tubuh badan bagi menjalankan fungsi badan secara normal. Vitamin lazimnya boleh didapati melalui pengambilan pelbagai makanan yang seimbang seperti hati, daging, ikan, bijirin, kekacang, sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain daripada sumber makanan, vitamin juga boleh diambil dalam bentuk dosej farmaseutikal bagi memenuhi keperluan harian setiap individu.


Produk vitamin yang terdapat di pasaran boleh didapati dalam pelbagai bentuk sediaan, seperti kapsul dan tablet. Terdapat juga sediaan dalam bentuk tablet untuk dikunyah (chewable) atau tablet yang dilarutkan dalam air (effervescent) bagi memudahkan pengambilan vitamin bagi individu yang mengalami kesukaran untuk menelan kapsul atau tablet. Sediaan multivitamin juga terdapat di pasaran bagi memudahkan pengambilan vitamin dan mineral mengikut keperluan harian.

Fungsi vitamin

Secara umumnya, vitamin bertindak untuk membantu enzim agar dapat menjalankan tindak balas kimia tertentu dalam tubuh badan. Pengambilan vitamin yang berbeza dapat membantu dalam perkembangan tisu badan, pengawalan metabolisma badan serta mengekalkan kesihatan kulit, mata, gigi dan tulang.

Vitamin perlu diambil dalam kuantiti yang mencukupi bagi mengelakkan penyakit tertentu. Kekurangan vitamin boleh menyebabkan penyakit seperti skurvi (akibat kekurangan vitamin C), riket (akibat kekurangan vitamin D), pellagra (akibat kekurangan vitamin B3), beri-beri (akibat kekurangan vitamin B1) dan sebagainya.

Jenis-jenis vitamin

Vitamin boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu vitamin larut air dan vitamin larut lemak. Berikut disenaraikan jenis-jenis vitamin dan contohnya:

Vitamin larut air
Vitamin larut lemak
  • Vitamin B1 (thiamine)
  • Vitamin B2 (riboflavine)
  • Vitamin B3 (niacin)
  • Vitamin B5 (panthothenic acid)
  • Vitamin B6 (pyridoxine)
  • Vitamin B7 (biotin)
  • Vitamin B9 (folic acid)
  • Vitamin B12 (cyanacobalamine)
  • Vitamin C (ascorbic acid)
  • Vitamin A
  • Vitamin D
  • Vitamin E
  • Vitamin K

Dos

Keperluan dos vitamin yang diambil adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada jantina dan umur serta perlu mengambil kira sekiranya individu tersebut mempunyai masalah kesihatan tertentu, sedang hamil atau menyusukan anak.

Sebagai contoh, bagi individu yang mengalami masalah tulang seperti osteoporosis, keperluan pengambilan vitamin D adalah lebih tinggi berbanding dos yang disarankan bagi membantu penyerapan kalsium ke dalam tulang serta menguatkan tulang. Wanita yang hamil pula memerlukan dos asid folik yang lebih tinggi bagi mengelakkan neural tube defect, iaitu kecacatan pada tulang belakang dan sistem saraf pada bayi dalam kandungan.

Jadual berikut menerangkan dos yang disarankan serta dos maksima yang dibenarkan dalam sehari bagi orang dewasa secara amnya mengikut jenis vitamin:

Vitamin
Dos yang disarankan dalam sehari
Dos maksima yang dibenarkan dalam sehari
A3000 IU5000 IU
B11.2 mg100 mg
B21.3 mg40 mg
B314 mg15 mg
B55 mg200 mg
B61.3 mg100 mg
B70.03 mg0.9 mg
B90.4 mg0.9 mg
B120.024 mg0.6 mg
C90 mg1000 mg
D600 IU1000 IU
E22.4 IU800 IU
K0.09 mg0.12 mg

Kesan sampingan

Pengambilan vitamin hendaklah tidak melebihi dos maksima yang disarankan bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan. Secara umumnya, vitamin larut lemak boleh memberi kesan sampingan berbanding vitamin larut air kerana vitamin larut lemak lazimnya disimpan dalam tisu badan dan hati serta menyebabkan toksisiti dalam jangka masa panjang.

Bergantung kepada jenis vitamin, pengambilan vitamin yang melebihi dos maksima yang dibenarkan dalam sehari boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, sembelit, sakit kepala, sakit pada bahagian abdomen, keletihan, kekeliruan, penglihatan menjadi kabur dan sebagainya.

Langkah Berjaga-Jaga

  • Pastikan anda membaca label pada produk suplemen vitamin untuk mengelakkan pengambilan dua atau lebih produk yang mengandungi vitamin yang sama.
  • Jangan ambil vitamin melebihi dos yang telah ditetapkan seperti pada label ubat.
  • Sekiranya anda mempunyai sebarang masalah kesihatan atau sedang mengambil ubat-ubatan tertentu, maklumkan kepada doktor atau berbincanglah sebelum mengambil sebarang produk suplemen vitamin atau suplemen kesihatan lain bagi mengelakkan interaksi ubat.
  • Dapatkan rawatan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami simptom toksisiti akibat pengambilan vitamin dalam dos berlebihan.

Rujukan

  1. Micromedex
  2. MIMS Gateway Service Portal
  3. Institute of Medicine : Recommended Dietary Allowances and Adequate Intakes, Vitamins (2011)
  4. Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan : Drug Registration Guidance Document (First Edition, Jan 2013)
  5. WebMD : Vitamins and Supplements Lifestyle Guide (www.webmd.com, 2013)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

8 Susu Formula Terbaik untuk Bayi Tambah Berat Badan 2024

Harga Susu S26 dan Kebaikan Susu S26 2023

15 Susu Formula Terbaik untuk Bayi 0-6 Bulan Malaysia 2024

Harga Susu Similac dan Review Susu Similac 2023

Perbezaan Rumusan Susu Langkah 1 dan Langkah 2 dan Langkah 3

Harga Susu Ensure Gold dan Kebaikan Susu Ensure Gold 2023

Harga dan Klinik Sedut Lemak Terbaik Malaysia 2023

9 Susu Formula Terbaik untuk Bayi Kembung Perut 2023

Harga Susu Enfalac Baby 0-12 Bulan dan Kebaikan Susu Enfalac 2024

10 Lampin dan Pampers Terbaik 2024 : Harga dan Review