Suntikan Sel Stem Penawar Sakit Lutut

Ribuan ringgit dibelanjakan untuk menemui doktor pakar, membeli ubat dan makanan tambahan bagi mengubati sakit lutut yang dialami, namun semuanya menemui jalan buntu.

Pergerakan Tajuddin Mad Yunus, 62, bukan sahaja terbatas gara-gara osteoarthritis lutut yang dihidapi sejak 2013, malah terpaksa berpaut ke dinding setiap kali bangun dari katil untuk ke bilik air ataupun bertongkat ke ruang tamu.


PAKAR Ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff.

“Cukuplah enam tahun saya menderita tidak dapat berjalan sempurna, malah lutut sering sakit berdenyut apabila memijak lantai. Itu belum lagi duduk melipat kaki ketika solat, sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu,” katanya kepada BH baru-baru ini.

Tajuddin yang juga pesara kerajaan berkata, kemuncak ‘sakitnya’ apabila doktor pakar Hospital Seberang Prai memberitahu lututnya perlu dibedah untuk diganti lutut palsu.

“Bagaimanapun, selepas semakan dibuat saya pernah membuat pembedahan jantung pada 2016, membuatkan doktor membatalkan prosedur itu bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

“Saya terbaca mengatakan pakar orthopedik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mencari pesakit untuk menjalani ujian awal sel stem, lalu saya menghubungi mereka bagi menyatakan persetujuan.

“Alhamdulillah, selepas disuntik Chondrogen pada 31 Januari lalu, hingga sekarang penderitaan sakit lutut itu hilang. Menariknya saya boleh menjalani kehidupan harian dengan lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.
Rujuk pakar

Pengalaman itu turut dikongsi, Khalijah Md Saad, 67, juga menerima rawatan suntikan Chondrogen pada lutut kanan pada 21 Februari lalu.



Beliau berkata, menderita sakit lutut lebih 10 tahun, banyak juga ubat penahan sakit yang dimakan, begitu juga vitamin tambahan namun tidak hilang. Rujuk ke HUKM untuk mendapatkan rawatan dan doktor menyuntik steroid, namun kesakitan berulang.

Pertemuan dengan Pakar Ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff, kemudian mencadangkan menyertai program suntikan stem sel bagi tujuan itu.

Katanya, Dr Badrul memberitahu akan kesan sampingan yang bakal dihadapi selepas menerima suntikan, namun tetap yakin untuk mengambilnya.

“Beberapa jam selepas suntikan, sakit saya hilang. Namun, keesokannya ketika bangun tidur, kaki sakit dan sukar hendak diangkat.

“Saya teringat pesanan Dr Badrul supaya letakkan ais pada lutut, hampir tiga hari jugalah saya melakukan perkara sama setiap kali mengalami kesakitan.

“Akhirnya, selepas tiga hari (72 jam), kesakitan hilang sepenuhnya hinggalah sekarang, saya kini boleh melakukan solat dengan mudah dan mampu berjalan menziarah jiran,” katanya.

Penipisan tulang rawan

Mengulas perkembangan berkaitan, Dr Badrul Akmal Hisham, berkata Osteoarthritis (OA) sendi lutut adalah arthriti yang paling kerap dihidapi individu. Masalah lazim dialami golongan muda dan berusia.



OA lutut berpunca daripada proses penipisan lapisan tulang rawan (cartilage) yang berlaku secara beransur-ansur dan mengakibatkan keradangan.
Apabila berlaku badan tidak dapat perbaharui sel lutut yang semakin rosak dan jika dibiarkan bertambah sakit ketika berjalan serta mengehadkan aktiviti.

Sesetengah pesakit antara kaedah rawatan ialah mengambil ubat oral penahan sakit, suntikan cecair sendi dan membuat pembedahan penggantian sendi.

Terkini, kemajuan teknologi perubatan masalah itu boleh diubati dengan suntikan sel stem yang dinamakan Chondrogen ke atas pesakit Osteoarthritis lutut.

Chondrogen adalah kaedah rawatan alternatif yang dibangunkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dengan kerjasama dan Meluha Life Science Sdn Bhd (MLS).

Chondrogen dihasilkan menggunakan wharton’s jelly, iaitu sel stem mesenkima alogenik (MSC) tali pusat bayi yang dikulturkan mengikut piawaian antarabangsa dan didaftar di bawah Agensi Pengawalan Famaseutikal Kebangsaan (NPRA).

Dr Badrul Akmal Hisham yang juga Ketua Unit Arthoskopi dan Kecederaan Sukan UKM, berkata pesakit osteoarthritis disuntik Chondrogen ke lutut melalui bius setempat tanpa perlu menjalani pembedahan arthoskopi atau pengambilan darah atau sum-sum tulang pelvis pesakit.

Beliau berkata, masa kritikal selama 72 jam menunjukkan tiada kesan sampingan dialami pesakit, malah pesakit boleh menikmati kualiti hidup dengan lebih baik berbanding ketika sakit lutut.

“Kami terus melakukan pemantauan dan rawatan susulan kajian klinikal dijangka selesai pada penghujung tahun ini. Kami juga sudah menghantar laporan hasil penelitian awal selama enam hingga 12 minggu kepada Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika UKM bagi menunjukkan kesan positif yang signifikan tanpa kesan sampingan Chondrogen,” katanya.

Untuk rawatan Chondrogen tahap dua dan tiga osteoarthritis lutut, pesakit diberikan suntikan sel stem berkenaan. Manakala tahap satu diberi ubat penahan sakit dan terapi, manakala tahap empat dinasihatkan menjalani pembedahan jika keadaan serius.


Pesakit tahap empat

“Kami ada mencuba memberikan suntikan Chondrogen pada pesakit tahap empat dan proses penyembuhan amat memberangsangkan,” katanya.

Ketua Pusat Terapi Sel HCTM, Prof Dr S Fadilah Abd Wahid, berkata penyelidikan dilakukan ke atas sel stem mesenkima alogenik tali pusat bayi memberi faedah kepada pembentukan sel tulang rawan, tulang, tendon dan darah.

“Memandangkan penggunaan sel stem ini yang pertama bagi merawat osteoarthritis, kami mengumpul data untuk dijadikan rujukan dunia perubatan, pada masa akan datang. Pengambilan sel stem mesenkima alogenik tali pusat bagi tujuan perubatan tidak berlaku di negara lain,” katanya.

Kerajaan Jepun, umpamanya hanya memberi kebenaran kepada sebuah universiti mengambil stem sel tali pusat bagi tujuan penyelidikan manakala di Amerika Syarikat dan Kanada pula mengambil stem sel sum sum bagi rawatan tulang.

Pengerusi MLS, Datuk Dr Abdul Jalil Jidon, berkata syarikat membangunkan perubatan selular yang mengandungi sel MSC kerana keupayaan terapeutik bagi merawat penyakit serius hingga boleh mengancam nyawa.

“MSC berpotensi mengungguli rawatan berasaskan sel bagi penyakit kronik seperti osteoarthritis, selain mengikut piawaian kawalan Amalan Pembuatan Baik (AMP).

“Chondrogen mampu bertahan dalam tempoh lapan jam untuk segar sebelum disuntik ke lutut pesakit. Jika sel stem tidak segar atau mati rawatan itu gagal,” katanya.
Rujukan: https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/07/583548/suntikan-sel-stem-penawar-sakit-lutut

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

8 Susu Formula Terbaik untuk Bayi Tambah Berat Badan 2024

Perbezaan Rumusan Susu Langkah 1 dan Langkah 2 dan Langkah 3

Harga Susu S26 dan Kebaikan Susu S26 2023

15 Susu Formula Terbaik untuk Bayi 0-6 Bulan Malaysia 2024

Harga dan Rawatan Stem Cell di Malaysia 2023

Harga Susu Enfalac Baby 0-12 Bulan dan Kebaikan Susu Enfalac 2024

Harga Susu Similac dan Review Susu Similac 2023

9 Susu Formula Terbaik untuk Bayi Kembung Perut 2023

10 Suplemen Terbaik untuk Kuatkan Antibodi Badan di Malaysia 2022

Pakej Bersalin: Harga untuk Hospital Swasta dan Kerajaan di Malaysia